Pengalaman Penyusuan Anak Pertama

IMG_20160514_202942IMG_20160513_225953

Alhamdulillah..Jika dikira sehingga hari ini, genaplah penyusuan saya kepada anak pertama saya Sufyyah yang sudah 1 tahun 7 bulan (17 Oktober 2014 – 17 Mei 2016) bersamaan 19 bulan.

Selepas membaca artikel mengenai How Breastfeeding Changes Your Brain di sini, saya tergerak untuk berkongsi pengalaman penyusuan anak pertama saya yang boleh saya kira banyak cabarannya juga kan? Setiap ibu pasti ada cabarannya masing-masing tetapi Allah kurniakan kita akal untuk selesaikan semua masalah atas muka bumi ini. Pokoknya semua adalah diri kita.

Stress di Dalam Pantang

Saya sudah pun lalui detik-detik waktu,saat-saat genting hari-hari pertama kedua selepas bersalin, orang kata susu tak ada! Ya memang susu tak ada nak diberi kepada anak yang menangis kita tak tahu nak apa? Nak susu ke? Nak apa? Baru dua hari keluar dari perut menangis tak tentu hala kita pula tak faham bahasa tangisan bayi tentunya stress. Ya saya sangat stress bila anak menyusu nampak gayanya macam tak puas, sampai saya cakap pada suami minta biras kakak saya berikan susu dia, mesti susu dia banyak abang! Mujurlah saya dikelilingi manusia seperti ibu, kakak dan suami yang support untuk saya teruskan penyusuan. Kakak saya pinjamkan pam manual Medela Harmony, dia suruh saya pam susu. Saya pam, hanya beberapa titik yang keluar. Saya yang tak keruan! Anak nak minum apa? Saya pam lagi akhirnya dapatlah tidak sampai setengah oz. Saya baca pengalaman orang lain tetapi itu normal di awal kelahiran. Nak teruskan positif? Rasanya memang boleh meroyan kalau tak ada orang yang teman kita dalam hari-hari berpantang. Dalam masa-masa terluang saya membaca semula ilmu penyusuan, tak ada seorang ibu pun selepas bersalin susunya melimpah ruah (bagi anak pertama). Semuanya pasti bermula dengan beberapa titis atau tidak sampai 1/2oz bahkan ada yang pam-pam tetapi tidak keluar. Kerana apa? Kerana Allah dah aturkan yang terbaik sebenarnya. Bayangkan perut bayi yang baru lahir sebesar buah ceri itu, apakah kita mengharapkan 1oz susu untuk mengenyangkannya? Sebenarnya hanya beberapa titis sahaja diperlukan oleh bayi yang baru dilahirkan untuk mengenyangkan mereka. Selebihnya jika tangisan tidak dapat dikawal, kita sebagai ibubapalah yang perlu untuk lebih banyak membaca dan pelajari teknik memahami bahasa tangisan bayi. Mereka menangis bukanlah disebabkan lapar semata tetapi memerlukan kepada ketenangan dan keselesaan yang mereka nikmati selama 9 bulan di dalam perut ibu. Bayangkan rasa hangat dan selamat di dalam perut itu tiba-tiba ditarik sejurus sahaja keluar daripada dunia sensasi rahim itu. Dakap mereka, kembalikan sensasi rahim kepada anak kita! Jangan terlalu kalut dan sibuk untuk memberi susu yang banyak kepada anak sehingga memaksa anak untuk menerima selain susu ibu. Rujuk gambar di bawah untuk maklumat kuantiti susu ibu yang diperlukan bayi mengikut perkembangan usianya.

Keperluan susu ibu mengikut saiz perut bayi.

Keperluan susu ibu mengikut saiz perut bayi.

Stress Bekerja

Seperti ibu-ibu lain juga, saya merupakan seorang ibu yang bekerja pada awalnya, cuba untuk membina karier dalam dunia hari ini yang menuntut isteri untuk makan gaji, untuk membantu suami dalam ekonomi rumahtangga. Saya beli double pump Autumnz Passion untuk pam susu saya setiap hari buat bekalan untuk hari esok untuk anak saya, susu saya tidak melimpah ruah, tidak penuh langsung freezer di rumah seperti orang lain yang berkongsi kepadatan deep freezer mereka dengan stok susu yang menggunung tinggi tetapi pelik hari-hari cukup untuk anak. Tetapi negatifnya saya tidak dapat menguruskan waktu bekerja dan pam susu saya sehingga saya mengabaikan masa pam saya. Bila tak pam, susu berkurang, tak cukup untuk anak. Bila pam nampak sikit yang keluar saya stress. Hari-hari saya stress sebab sedih susu kurang cukup ke untuk anak minum? Bila stress sebenarnya susu lagi kurang.

Sehinggalah akhirnya saya buat keputusan besar untuk berhenti bekerja. Lama keputusan tersebut tergantung-gantung sebab iyalah dengan gaji yang agak selesa buat saya berfikir banyak kali samada nak berhenti atau tidak. Suami pun serahkan semuanya pada saya. Saya nekad untuk berhenti dan tidak berpaling lagi. Alhamdulillah selepas berhenti hati saya jadi lebih tenang kerana dapat fokus untuk menyusukan anak saya tanpa perlu berkejar dengan masa dan perkara lain-lain. Saya tidak lagi berfikiran negatif samada cukup atau tidak susu untuk anak saya. Tiada lagi drama berkejar-kejar di office membasuh pam di pantri. Duduk di rumah, asal anak nak menyusu saya suakan.

Hasil Indah Penyusuan

Siapa yang tidak seronok melihat anak membesar dengan air susu kita sendiri? Alhamdulillah saya sedang menikmati hasil indah penyusuan ibu. Anak saya membesar dengan sihat sangat jarang demam dan selsema, aktif, cergas dan target saya ketika umurnya mencecah 2 tahun, sekurang-kurangnya 200 patah perkataan yang perlu dia tahu. Saya tidak terlalu menekan dia untuk belajar ABC atau Alif Ba Ta tetapi dia sendiri yang mampu untuk ikut perkataan-perkataan tersebut.

Bila menyusu badan terutamanya direct feeding, nak berpisah sekejap pun tak boleh rasa bagaikan setahun. Kadang-kadang saya perlu ke meeting, yang terlebih gelisahnya adalah saya. Bila saya call umi tanya Sufy ok? Dia ok je. Begitulah perasaan seorang mak agaknya. Kita yang terlebih fikir pasal anak risau dia yang tak boleh bawa diri tanpa kita padahal dia OK je.

Hamil Anak Kedua

Saya hamil anak kedua di minggu ke 17 tetapi masih meneruskan penyusuan kerana saya ingin cukupkan tempoh 2 tahun untuknya. Walaupun menguji kesabaran tetapi demi memenuhi tuntutan emosi dan ketagihan anak, ibu relakan jua. Yang penting ibu kena makan banyak untuk bekalkan khasiat untuk dua nyawa yang ada.

Saya harap dengan tulisan yang tidak seberapa ini dapat menyebarkan aura positif untuk ibu-ibu teruskan penyusuan. Bila dikenangkan kembali jerih perih cabaran nak menyusukan anak tak terasa ruginya dengan hasil yang kita dapat hari ini.

P/s: Dah lama saya tak menulis ayat pun tak tersusun dengan baik.

SELAMAT MENJALANI PERJALANAN PENYUSUAN SUSU IBU!

1 comment on “Pengalaman Penyusuan Anak Pertama”

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *