Pengalaman Bersalin Di Hospital Serdang

BIlahirrahmanirrahim..

Aku in the mood of surveying and searching hospital untuk bersalin. Bila baca pengalaman orang bersalin, rasa nak berkongsi pengalaman bersalin ketika di Hospital Serdang 2 tahun yang lalu. Macam dah bau basi tapi pengalaman anak sulung tetap segar di ingatan kan? Kerana anak sulung anak teristimewa, kehadiran yang dinanti-nanti. Pastinya semua yang berlaku masih segar di ingatan.

Pengalaman bersalin aku berlaku agak pantas. Kalau ada yang berpengalaman sakit berbelas-belas jam, berhari-hari, alhamdulillah sakit bersalin aku 2-3 jam macam tu. Dah tak ingat sebab semuanya berlaku sekelip mata. Kalau orang lain sempat lagi nak record snap gambar tapi memang aku tak sempat. Sebab memang tak sangka datang hospital terus kena masuk labour room. Malam tu umi dan ayah datang rumah aku dengan confidentnya cakap lambat lagi nak bersalin ni, doktor pun cakap belum baby engaged lagi, belum masuk laluan gituuu.

Di keheningan malam 16 Oktober 2014 pukul 12 tengah malam macam tu, aku naik ke bilik dulu, tinggal suami settlekan urusan interview untuk esoknya di Majlis Perbandaran Nilai untuk jawatan Pegawai Undang-Undang. Tapi akhirnya tak pergi pun sebab anak sulung pertama nak lahir. Tapi Allah dah aturkan rancangan lebih cantik, dia dah pun dapat offer jawatan tetap untuk Pegawai Undang-Undang di Lembaga Koko Malaysia. Alhamdulillah. Rezeki anakkan. Pukul 3 pagi baru dia naik ke bilik dan aku pula yang tersedar dari tidur sebab tiba-tiba sakit yang lain macam tangkap di pinggang dan ke bawah. Dahlah seumur hidup aku tak pernah merasai sakit senggugut. Jadi konfius sebenarnya kesakitan apa yang sedang ku tanggung ini. Sakitnya datang 5 minit sekali. Boleh tahan juga sakitnya tapi bila dia hilang rasa lega. Lepas tu datang semula.

Aku beritahu suami, abang saya sakit perutlah. Cuba google brixton hicks jap. Lepas tu suami pun tolong googlekan kot memang false alarm ke apa. Tapi sakit tu makin lama makin kerap. Eh eh. Memang tak boleh jadi ni. Saya dan suami buat keputusan untuk ke Hospital Serdang. Memang dah decide nak bersalin di situ. Tapi malam ni kalau tak bersalin kita anggap jalan-jalan ke hospital je lah. Aku pun pack apa-apa yang perlu. Dalam 4.30 pagi bertolak ke Hospital Serdang, perjalanan memang lancar, 10 minit sampai.

Dah park kereta di perkarangan hospital, kami pun tak tahu nak menuju ke mana. Laki bini memang sengal. Sekejap-sekejap aku berhenti berjalan sebab tahan sakit lepas tu nak gelak-gelak dulu sebab lawak bodoh yang kitorang buat. Buat malu je kalau sebenarnya sakit ni bukan sakit nak bersalin. 😀 Kitorang pergi ke bahagian kecemasan, jumpa sorang abang attendant ni suami cakap isteri saya sakit perut mungkin nak bersalin. Abang tu cakap eh buat apa datang kecemasan? Dewan bersalin dekat sana tu ha. Ha ha ha. Memang cool. Ok, kitorang pun pergilah ke dewan bersalin dan buat pendaftaran. Suami request untuk first class ward tapi nurse bagitahu bergantung pada kekosongan. Hmm..Hmm..Itulah risikonya bersalin di Hospital Serdang, berduit banyak mana sekalipun kalau wad tak kosong akhirnya kena sumbat juga di wad-wad keramaian.

Aku dan suami duduk di ruang menunggu, tunggu nama aku dipanggil. Syukur sangat tak ramai orang nak bersalin di pagi-pagi buta macam tu. Aku pun masuk ke dewan bersalin tanpa bawa handphone. Kesian suami kena tunggu lama di luar tanpa khabar berita aku di dalam. Dekat dalam tu nurse buat urine test dan tanya kenapa puan datang? Aku jawab sebab sakit 5-10 minit. Lepas tu aku diberi satu katil dan dipasangkan CTG untuk kekerapan contraction. Katil di sekeliling aku semuanya penuh dengan ibu-ibu yang nak bersalin tapi aku pandang muka masing-masing macam relax sangat. Kenapa aku sorang je macam sakit ni? Berpeluh-peluh menahan sakit. Aku tak selesa baring aku duduk menahan sakit. Lepas tu rasa perut macam memulas-mulas, memang rasa kepala baby macam turun ke bawah.

Dalam pukul 5.30 pagi, datanglah seorang doktor muda lelaki untuk buat VE. Entahlah perasaan aku masa tu macam redha tak redha bila seorang lelaki bukan mahram yang buat semua tu. Tapi disebabkan sakit aku redha sahaja lah. Tapi disebabkan tu lah anak kedua ni aku taknak dah doktor lelaki langsung terlibat dalam proses kelahiran sebab maruah seorang wanita tu kan, selagi kita ada kemampuan untuk pilih maka pilihlah doktor perempuan. Doktor muda tu pun seluklah tiba-tiba dia menjerit kecil, baby dah nak keluar ni, bukaan dah 7cm! Kita masuk labour room ya. Fuuh Fuuh.. Perasaan aku waktu tu Allah saja yang tahu..Nak tak nak kena bersedia mental dan fizikal untuk bersalin sebab jalan dah buka 7cm. Maka nurse-nurse pun datang mempersiapkan aku untuk ke labour room. Dari kejauhan aku dengan nurse panggil suami Puan Adilah berulang kali. Doktor lelaki tadi beritahu dia nak pecahkan ketuban.

Aku pun ditolak dari dewan bersalin menggunakan stretcher ke labour room. Sementara tunggu labour room kosong aku ditolak tepi ke satu sudut untuk menunggu. Suami aku pun masuk menuju ke arah aku. Kosong je perasaan aku masa tu tengok mata dia merah tahan air mata kot. Tak lama kemudian aku ditolak masuk ke labour room lebih kurang 5.30 pagi macam tu. Dalam labour room itulah contraction semakin tak boleh tahan. Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya bersalin itu. Rasa pinggang dipulas-pulas nak putus dua. Hilang segala teknik pernafasan yang aku belajar dalam kelas antenatal Hospital An-Nur. Mujur ada suami yang mengingatkan walau agak sedikit serabut disebabkan menahan sakit.

Tetapi…untuk bersalin anak kedua ni aku banyakkan membaca mengenai hypnobirthing, bagaimana nak hipnosis diri ketika sakit kontraksi sedang berlangsung. Alangkah bagusnya jika aku tahu teknik ini ketika bersalinkan anak sulung dahulu dan diaplikasikan ketika sakit 2 jam di dalam labour room. Walaupun hanya 2 jam di dalam labour room tetapi tempohnya aku rasa sangat panjang kerana terlalu melawan kesakitan dengan mengeraskan badan. Rupanya bila kita lagi melawan kesakitan, lagi akan melambatkan bukaan serviks. MashaAllah, terlalu banyak ilmu kelahiran yang perlu dipelajari lagi.

Alhamdulillah, jam 7.33 pagi Jumaat 17 Oktober 2014, aku berjaya mengeluarkan seorang bayi comel dari rahimku seberat 2.56kg dengan sihat dan sempurna. Perasaan ketika itu sukar digambarkan, 9 bulan di dalam kandungan hanya berkomunikasi melalui sentuhan dan usapan tangan berada di atas perutku dengan mata yang celik terkebil-kebil memandang aku, aduh tersentuh naluri keibuanku.

Jam 11.30 pagi barulah aku dinaikkan ke wad, itupun ke wad yang agak macam dorm asrama, disebabkan tiada komplikasi bersalin maka aku diletakkan di wad transit yang hampir 20 orang di dalamnya. Mungkin disebabkan terlalu penat meneran melahirkan anak pertama jadi aku tak kisah dan tak layan sangat dengan servis dan layanan Hospital Serdang. Dengan nurse yang jarang-jarang melawat ke wad, tandas yang jauh dan ahli keluarga yang hanya boleh menemani ketika waktu melawat – walaupun bunyinya agak sadis tetapi pada masa itu aku tidak ambil pusing sebab sedang melayan kesakitan dijahit tanpa bius aku rasa ( iya, setiap cucukan jarum memang boleh aku rasa dan ditambah pula dengan kepenatan melahirkan. Di dalam labour room pula nurse pandai-pandai pula seluk ke dalam katanya ada uri tertinggal. Allah…kita sudahlah sakit melahirkan, dia sukahati menyeluk sampai dalam katanya ada serpihan uri sampaikan nurse bertegang urat dengan doktor, doktor kata bukan dia masih mahu menegaskan memang ada uri yang tertinggal. Macam dia lebih pandai?

Pukul 8.00 malam ada seorang doktor datang memeriksa soalnya puan dah buang air kecil? Baby dah berak dan kencing? Kalau dah, boleh discharge sekarang. Iya, jika discahrge adalah yang terbaik memang aku rela balik sekarang walaupun tak bermalam di hospital. Sekali lagi sebelum discharge perlu buat VE dan yang membuatnya adalah doktor lelaki. Allah..sedih dah malu tapi siapalah kita nak request macam-macam kan.

Begitulah kisahnya pengalaman bersalin anak sulungku Sufyyah di Hospital Serdang. Aku bersyukur segalanya dipermudahkan, berlaku dalam masa yang singkat melahirkannya tetapi untuk anak-anak yang akan datang,biarlah aku menabung untuk hospital mesra muslimah yang selesa. Aku tidak meminta dilayan bagaikan puteri cukuplah sekadar yang menyambut semuanya adalah muslimah, itu sudah memadai.

1 comment on “Pengalaman Bersalin Di Hospital Serdang”

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *